Ditanya Siapakah Yg Bakal Gantikan Shuib, Ini Jawapan Jep Dan Rahim Sepahtu

Sepahtu Reunion Live kembali untuk musim kelima.

Bagi penggemar program komedi ini, anda mungkin merasakan ada kelompongan dengan ketiadaan Shuib sebagai teraju utama.

Bagi seorang lagi teraju utama Sepahtu, Jep, ketiadaan Shuib disifatkan sebagai kehilangan besar namun mengakui ada hikmah di sebalik keputusan tersebut.

Bagi Jep, ketiadaan Shuib dilihat sebagai pembuka rezeki kepada pelawak lain terutama mereka yang otai dalam industri seni.

Sepahtu Reunion Live: Kehilangan besar namun ada hikmah di sebalik kekosongan Shuib

Jep (dua dari kiri) ketika diwawancara AWANI Pagi menyifatkan ketiadaan Shuib sebagai kehilangan besar, namun berasakan ada hikmah di sebalik keputusan tersebut. -Astro AWANI

“Sebenarnya ketiadaan Shuib memang satu kehilangan besar buat kami. Tetapi kita perlu fikir satu benda, program perlu diteruskan.

“Walaupun dia (Shuib) tidak dapat lakukan, kita perlu cari alternatif lain.

“Bagaimana nak cari ganti itu memang susah, tetapi kita mencari orang yang dapat memudahkan urusan kita.

“Kita cari pengganti yang menepati piawaian sama macam Shuib.

“Saya turut menganggap kekosongan itu adalah untuk kita berkongsi rezeki dengan pelawak otai kerana kita tahu kadang-kadang tak semua mengalami nasib yang sama.

“Jadi ini adalah satu cabaran namun ada hikmahnya,” jelasnya.

Jep berkata demikian dalam program AWANI Pagi segmen Selebriti Selasa yang disiarkan pagi tadi.

Menyentuh mengenai pemilihan artis jemputan dalam program tersebut, seorang lagi teraju utama Sepahtu Reunion Live, Rahim menjelaskan setiap kriteria diteliti bagi memastikan jalan cerita dapat disampaikan dengan sebaiknya.

“Bukan sahaja soal idea yang diteliti tetapi dari segi artis jemputan juga kita adakan perbincangan dengan pihak produksi.

“Ada beberapa kriteria yang perlu kita ambil kira, antaranya mengikut jalan cerita, umur, watak, itu memberikan gambaran siapa dan bagaimana artis jemputan untuk minggu itu.

“Memang kita ada senarai yang disediakan merangkumi beberapa nama yang ktia cadangkan yang perlu bersesuaian dengan watak pada satu-satu episod,” ujarnya.

VIDEO:


Sumber : ASTRO AWANI

Leave a Comment